MPSJ lancar Smart Selangor Parking, ‘Parkbyphone’

SUBANG JAYA, 6 MEI: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melaksanakan sistem aplikasi pintar letak kereta ‘Smart Selangor Parking’ (SSP) dan ‘Parkbyphone’ (PBP) sebagai alternatif pembayaran tempat letak kereta di kawasan pentadbiran berkenaan.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, sebanyak 79,853 petak letak kereta diwartakan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit melalui aplikasi sistem pintar yang dilaksanakan dengan kolaboratif pintar antara Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) dan Godell Parking Sdn Bhd itu.

Katanya, daripada bilangan itu, 44,639 petak (60 peratus) adalah petak letak kereta bagi kawasan komersial, manakala 35,214 (40 peratus) di kawasan industri dan industri bercampur.

“Sehingga kini, kita mengenakan caj parkir di kawasan komersial sahaja, dengan bilangan petak yang sebegini banyak dan kawasan yang luas, kita memerlukan kaedah atau sisitem yang dapat diakses atau digunakan pengguna.

“Caj letak kereta dikenakan adalah 50 sen/jam, RM4/hari dan RM80/bulan, manakala tempoh masa letak kereta bermula dari 8 pagi hingga 6.30 petang.

“Pengguna di MPSJ mempunyai pelbagai pilihan melaksanakan pembayaran caj letak kereta seperti mesin bayar dan peraga (PND), aplikasi telefon mudah alih, kupon gores dan pas bulanan,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran aplikasi itu, di Bangunan MPSJ, di sini, hari ini.

Pelancarannya disempurnakan EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze; Pengarah Urusan SSDU, Dr mohammadFahmi Ngah dan Pengarah Eksekutif Bahagian Perniagaan Letak Kereta Godell Parking Sdn Bhd, Md Jaki Omar.

Mengulas kelebihan aplikasi itu, Noraini berkata, selain memberi kemudahan kepada pengguna lalu lintas, ia juga mempunyai pelbagai fungsi yang boleh mengingatkan pengguna berkaitan masa tamat tempoh letak kereta.

“Mereka tidak perlu lagi tergesa-gesa membuat pembayaran letak kereta MPSJ kerana sistem ini membolehkan mereka membuat pembayaran di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.

“Pengguna boleh membuat pembayaran kompaun sekiranya ada secara terus di aplikasi ini dan semakan pembayaran letak kereta sebelum pengeluaran kompaun oleh anggota penguat kuasa PBT,” katanya.

Terdahulu, MPSJ menjadi PBT ketujuh di Selangor yang melancarkan aplikasi pintar itu selepas Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).

Leave A Reply