MPSJ perkenal sistem pintar letak kereta

SUBANG JAYA: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) memperkenalkan sistem pembayaran parkir menggunakan aplikasi sebagai alternatif terhadap pembayaran menggunakan kupon atau mesin.

Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan, berkata MPSJ komited dalam meningkatkan efisiensi penyampaian perkhidmatan dan tahap kecekapan pengurusan perkhidmatan kepada orang awam dengan memperkenalkan aplikasi pintar iaitu Smart Selangor Parking (SSP) dan Parkbyphone (PBP).

Katanya, kedua aplikasi pembayaran parkir ini membolehkan setiap transaksi pembayaran dapat diimbas oleh anggota penguatkuasa menggunakan peranti yang disediakan.

“Sehingga kini, MPSJ mempunyai 79, 853 petak parkir yang ditawarkan dan 60 peratus daripadanya adalah parkir di kawasan komersial manakala bakinya kawasan perindustrian.

“Caj parkir hanya dikenakan di kawasan komersial saja justeru dengan pelaksanaan aplikasi ini pengguna di MPSJ akan mempunyai pelbagai pilihan untuk membayar caj parkir seperti menggunakan mesin, aplikasi, kupon gores atau pas bulanan.

“Selain itu, Godell Parking turut menyediakan terminal pembayaran parkir tanpa tunai di lapangan bagi memenuhi keperluan pengguna yang tidak mempunyai akses telefon pintar,” katanya pada Majlis Pelancaran Sistem Aplikasi Pintar Letak Kereta MPSJ, di sini, hari ini.

Inisiatif ini adalah kerjasama ini antara MPSJ dan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) dan Godell Parking Sdn Bhd.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Kampung Baru Negeri Selangor, Ng Sze Han dan Pengarah Urusan SSDU, Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Pengarah Eksekutif Bahagian Perniagaan Letak Kereta Godell Parking Sdn Bhd, Md Jaki Omar.

Sementara itu, Sze Han yang merasmikan majlis berkenan turut melihat inisiatif berkenaan mencerminkan komited kerajaan Negeri menyediakan kemudahan kepada rakyat Selangor.

“Kewujudan aplikasi pintar ini berjaya meningkatkan fenomena mesra pengguna, infrastruktur yang selesa dan yang paling utama pembangunan sebuah lapisan digital bagi memastikan tahap perkhidmatan awam yang cekap bagi penduduk di dalam dan luar bandar.

“Sistem ini juga selaras dengan hasrat kerajaan Negeri untuk merealisasikan Selangor sebagai bandar ‘Smart State’ terulung di rantau ASEAN menjelang 2025,” katanya.

Penggunaan aplikasi sistem pintar ini turut digunakan di enam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang lain antaranya Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Shah Alam.

Bagaimanapun, caj parkir yang dikenakan berbeza bagi setiap PBT, bagi MPSJ ia dikenakan RM0.50 sen bagi satu jam, RM4 untuk sehari manakala RM80 untuk bayaran parkir sebulan.

Leave A Reply