SSP, PBP bantu pantau prestasi pegawai penguatkuasa

SUBANG JAYA, 6 MEI: Prestasi pegawai penguat kuasa di Majlis Perbandaran Subang Jaya kini mampu dipantau secara lebih berkesan dan komprehensif melalui kesediaan fungsi sistem aplikasi pintar ‘Smart Selangor Parking’ (SSP) serta ‘Parkbyphone’ (PBP).

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, modul penguatkuasa SSP turut membantu pegawai penguat kuasa untuk menjalankan kerja penguatkuasaan parkir seterusnya membolehkan penggunaannya di lapangan.

“Selain itu, kertas kompaun juga dapat dicetak secara ‘real time’ bagi kesalahan seperti tidak membayar parkir dan meletakkan kenderaan di luar petak.

“Kewujudan aplikasi ini juga berjaya meningkatkan fenomena mesra pengguna, infrastruktur yang selesa dan pembangunan sebuah lapisan digital untuk memastikan tahap perkhidmatan awam lebih ceka, efisien dan saksama untuk semua penduduk di dalam dan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Sistem Aplikasi Pintar Letak Kereta ‘Smart Selangor Parking’ (SSP) dan ‘Parkbyphone’ (PBP), di Ibu Pejabat MPSJ, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze; Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan; Pengarah Urusan SSDU, Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Pengarah Eksekutif Bahagian Perniagaan Letak Kereta Godell Parking Sdn Bhd, Md Jaki Omar.

Sze Han yang juga ADN Kinrara menyambut baik komitmen pihak berkuasa tempatan (PBT) itu melaksanakan aplikasi pintar berkenaan yang mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri merealisasikan Selangor sebagai sebuah Smart State terulung di rantau Asia menjelang 2025.

“Aplikasi ini adalah satu pendekatan Smart State untuk menyediakan penyeragaman perkhidmatan pelbagai PBT melalui satu aplikasi telefon pintar untuk kegunaan rakyat.

“Saya harap sistem pembayaran parkir dilaksanakan MPSJ dan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) serta dioperasikan Godell Parking Sdn Bhd dapat memudahkan transaksi pembayaran parkir juga kompaun untuk penduduk setempat,” katanya.

Sebanyak 44,639 atau 60 peratus petak letak kereta diwartakan MPSJ bagi kawasan komersial, manakala 35,214 atau 40 peratus di kawasan industri dan industri bercampur melalui kedua-dua aplikasi pintar berkenaan.

Leave A Reply